Thursday, March 20, 2008

KUASA RAKYAT VS KUASA PARTI


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Terang lagi bersuluh apabila keputusan pilihanraya baru-baru ini menunjukkan betapa berkuasanya rakyat dalam menentukan kedudukan sesebuah parti. Tergugatnya keputusan Barisan Nasional baru-baru ini telah menunjukkan betapa rakyat sudah mulai bijak menggunakan kuasa mereka dalam menentukan kepimpinan sesebuah negara. Apa yang telah berlaku haruslah menjadi iktibar kepada parti bahawa bukanlah selama ini pembangunan yang mereka ingini tetapi nilai kepimpinanlah yang menjadi kepentingan di dalam sesebuah pemerintahan.

Ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir rasanya rakyat sudah cukup menikmati segala kemewahan dan pembangunan di dalam negara. Lalu Pak Lah mengambil alih dengan membawa satu wawasan yang saya rasakan amat bertepatan dengan kehendak rakyat selepas pemerintahan Tun Mahathir iaitu pembangunan modal insan. Telah menjadi satu lumrah dalam mana-mana negara di dunia apabila sesebuah negara yang sedang pesat membangun, mudah melupakan persoalan masalah sosial. Banyak negara maju telah menunjukkan contoh kepada kita ketika negara tersebut mengejar arus permodenan dan pembangunan apa yang menjadi cagaran adalah masalah gejala sosial yang juga akan turut meningkat bersama pembangunan negara. Nilai dan budaya kehidupan sudah mulai diketepikan. Rasuah dan jenayah mula mengambil tempatnya di dalam masyarakat. Kalau ditanya di mana silapnya parti inilah jawapannya.

Apa yang telah dibawa oleh Pak Lah adalah sesuatu yang wajar di dukung oleh parti. Ketika Pak lah memperkenalkan HADHARI di mana pendukungnya? Ketika Pak Lah menyebut tentang modal insan, siapa yang telah mengimplementasikannya? Ketika Pak Lah hendak membenteras rasuah, siapa yang sebenarnya sedang merompak rakyat? Anak Cina makan pengat jadi sendirilah mahu ingat.

Kalau mengikut sejarah UMNO kekutan parti dahulu banyak bergantung kepada pemuda. Sehinggakan perkataan pemuda itu begitu sinonim sebagai “pemuda tiang negara”. Apa jadi kalau sebatang tiang tumbang atau tidak kukuh dalam sebuah rumah, tentulah roboh. Persoalannya sekarang apa sudah jadi dengan pemuda kita hari ini? Kalau nak tahu inilah pula jawapannya , mereka sedang berada di angkasa terbang sehingga enggan untuk memijak bumi. Pemuda sekarang telah membawa satu budaya elit sehinggakan sukar untuk sesiapa sahaja mendampingi mereka. Mengikut bancian negara kita dipenuhi hampir 75% golongan yang terdiri dari mereka yang di bawah 40 tahun. Kalau kejatuhan lima negeri ini tak salah kalau saya meletakkan kesilapan ini di tangan pemuda

Antara Pak Lah dan pemuda mereka lebih dilihat sebagai golongan yang hanya ingin menjaga Pak Lah dari menjalankan kerja yang Pak Lah inginkan. Mereka begitu sibuk untuk menaikkan taraf hidup masing-masing sehingga mereka gagal untuk menjalankan kerja mereka untuk Agama, Bangsa dan Negara. Kalau ditanya rata-rata mengatakan bahawa pemuda UMNO telah hilang integriti mereka. Mereka bukanlah lagi sepertimana golongan pemuda zaman dahulu yang senantiasa bertebaran di tanah mendampingi rakyat, membela rakyat, sanggup turun padang kalau terdapat demonstrasi di mana-mana dan bukan dengan menghantar bomba dan fru untuk menyelesaikan masalah ini. Suara rakyat senantiasa di dengar. Setiap masalah diselesaikan dengan tangan dan bukan dengan wang atau sekadar menggunakan talipon bimbit untuk mengetahui masalah rakyat.

Maka hari ini barulah parti sedar bahawa kuasa rakyat yang telah diberikan oleh Allah telah mulai membuak di sana-sini. Kesalahan Pak Lah hanya satu iaitu terlalu memberi sepenuh kepercayaan kepada pemuda. Pak Lah harus sedar bahawa pemuda sememanglah mempunyai idea yang baru tetapi tak mungkin semuanya bernas. Ini adalah dunia politik dan bukan sebuah pusat pengajian tinggi yang mana ukuran kecerdikan di dalam pusat pengajian tinggi hanya bertumpu kepada penilaian keputusan peperiksaan untuk meniktirafkan kecerdikan mereka. Di dalam menilai kecerdikan seseorang pemimpin pemuda khususnya di dalam parti dan dunia politik adalah bagaimana mereka mampu mengambil hati rakyat, membela kesusahan mereka dan mempunyai pengikut yang setia bukan kerana material tetapi kerana nilai dan akhlak yang mereka bawa. Itulah penilaian rakyat terhadap seorang pemimpin dewasa ini. Ini tidak boleh dinafikan.

Hanya segelintir sahaja mereka yang menyukai cara kepimpinan pemuda sekarang iaitu dikalangan mereka yang mendapat menafaat dari mendamping kepimpinan pemuda atasan. Inilah keputusannya setelah mendapat apa yang mereka ingini kerja untuk mendampingi serta mendengar kesusahan rakyat tidak langsung diendahkan. Pak Lah seharusnya memeriksa buku-buku yang ditandatangani oleh setiap pelawat di dalam pejabat-pejabat pemuda dan juga kementerian yang diwakili pemuda untuk memastikan apa yang sedang dinyatakan ini benar atau salah. Dari buku pelawat itulah Pak Lah akan tahu selama ini siapa yang sering mereka jumpa? Apakah pelawat mereka itu terdiri dari orang kampung atau golongan koperat dan elit sahaja?

Rakyat sekarang bukan lagi seperti kanak-kanak kecil yang boleh disoggok dengan gula-gula. Rakyat sekarang sudah ramai yang cerdik pandai malahan lagi ramai bilangan cerdik pandai ini di kalangan pemimpin terutamanya pemuda. Mereka sudah pandai menilai siapa pemimpin mereka. Ketika pemimpin mereka yang terdiri di kalangan pemuda ini bercakap tentang kesusahan, rakyat sudah pandai menilai apakah mereka telah atau pernah merasainya. Apabila mereka bercakap tentang rasuah, apakah gaji pemimpin pemuda ini, seimbang dengan jawatan mereka? Persoalan ini sudah lama berlegar diminda rakyat. Sebagai keputusannya lima negeri pembangkang tawan.

Kalau ditanya rata-rata rakyat di bawah semuanya amat kecewa dengan pemuda hari ini. Kata mereka pemuda yang seharusnya menjadi tiang lebih pandai mencium keris dari turun membela rakyat. Kuasa rakyat makin menjadi-jadi oleh itu janganlah nak retorik lagi. Kepimpinan pemuda harus segera dikuatkan kembali untuk menjadi pembela Agama, Bangsa dan tanahair. Kalau benar bancian 75% bilangan penduduk Malaysia layak mengundi di bawah 40 tahun maka apa lagi yang hendak kita kuatkan kalau bukan barisan pemuda. Jangan pula menghantar puteri ke padang kerana mereka lebih layak menumpukan perhatian kepada anak-anak kecil mengasah bakat menjadi ibu mithali. Membesarkan anak-anak kecil tak kira di mana sahaja, itulah seharusnya kerja puteri sebagai pembimbing generasi penerus.

Mulai sekarang kuasa parti seharusnya dibahagi-bahagikan tugas mengikut keupayaan dan kempuan setiap sayap parti. Bagi pemimpin parti di dalam majlis tertinggi tugas mereka dulu, kini dan selamanya amat bersesuaian sebagai pembuat dasar. Wanita pula dari dulu, kini dan selamanya tidak dapat dinafikan merupakan sayap yang proffesional sebagai perayu undi, ketua 10 dan juga golongan yang senantiasa diharapkan untuk mencukupkan korum mesyuarat di dalam parti. Pemuda harus kembali keperjuangan asal yakni mengimplemenkan setiap dasar yang telah ditetapkan oleh parti. Kalau dasar Majlis Tertinggi ingin memerangi rasuah maka mereka dahulu harus memberi contoh dan tauladan kepada rakyat. Barulah rakyat percayakan integriti mereka. Manakala puteri seharusnya telah dinyatakan berpuluh kali mereka harusnya tumpu sahaja perang cyberwar iaitu internet. Semua pekerjaan ini boleh dilakukan dirumah atau dipejabat sahaja tak perlulah nak turun padang sama naik dengan pemuda dan wanita. Puteri ada yang masih gadis ada pula yang cantik jelita jadi lebih terdedah kepada godaan dan bahaya. Kalau nak tahu sayap puterilah yang paling penting untuk Agama, Bangsa dan Negara iaitu pencorak kain putih. Generasi selanjutnya di tangan bimbingan dan didikan mereka. Kalau putih bimbingan mereka maka putih pulalah anak-anak generasi akan datang. Mereka kalau ingin sangat nak turun padang maka berilah tumpuan sebagai hanya pemibimbing kepada kanak-kanak. Banyak kanak-kanak yang boleh mereka bimbing terutamanya anak yatim, yang telah bertambah setiap hari sehingga sekarang mencecah 300,000.00 orang. Kalau satu rumah puteri satu anak yatim dan satu komputer aman negara banyak pahala. Jadi pemimpin selamat dunia akhirat.

Itulah kuasa parti. Kalau setiap tugasan diagihkan sedemikian rupa tentulah rakyat tidak akan dapat menggunakan kuasa mereka untuk membenci pemimpin atau menjatuhkan parti. Kalau parti sendiri mempunyai tanggungjawab dan integriti apa lagi kesalahan nyata yang ingin mereka cari. Setiap manusia ataupun rakyat boleh sahaja mencari kesalahan namun kalau kesalahan itu tidak nyata tak mungkin kesalahan tersebut bertukar menjadi bencana. Dalam bulan baik menyambut maulidul rasul seharusnya setiap pemimpin membawa Nabi Muhamad sebagai ikon mereka. Nabi Muhamad yang ummi juga tidak terlepas dari orang mencari kesalahan Baginda namun mengapa Baginda terselamat kerana kesalahan Baginda tidak nyata. Abu sai’id alkhudri bercerita tentang akhlak Rasulullah:

“ Bahawa Rasulullah s.a.w sendiri memberi makan untanya, membersihkan dan menguruskan rumahtangganya, membersihkan kasut, menampal pakaian, memerah susu, makan bersama-sama para pembantu rumah (khadam), membawa sesuatu yang dibeli dipasar untuk kepentingan keluarganya, bersalaman dngean orang miskin dan kaya, senantiasa memulai dan mendahulukan salam, tidak pernah menolak apa sahaja yang dihidangkan kepadanya walaupun hanya sebiji kurma kering, ringan tangan untuk membantu orang lain, bersikap lemah-lembut, bergaul demean sopan santun senantiasa bermuka manis, kasih sayang terhadap sesama muslim, tidak pernah mengemukakan keluhannya ketika lapar dan tidak bersifat tamak haloba.”

Kalau pemuda sebagai tiang negara ini dapat mengambil secebis sahaja dari akhlak Rasulullah ini seperti yang diceritakan di atas tentulah kemarahan rakyat tidak akan sampai menyalah gunakan kuasa mereka. Pemuda seharusnya mengambil iktibar dan keluarlah dari kepompong elit untuk kembali mendampingi rakyat bukan di lobby-lobby hotel dengan menghisap curut ratusan ringgit lagi tetapi di warung kopi dengan rokok daun dan kopi panas dan bukan cuppocino. Kalau mahu cerita dari rakyat duduklah beberapa hari, bulan dan tahun di situ pasti dengar keluh kesah mereka tentang parti. Tak mungkin keluhan rakyat sampai ke hotel lima bintang. Muhasabahlah wahai Pemuda Tiang Negara kalau ingin menyelamatkan Agama, Bangsa dan Negara!!!

Monday, March 17, 2008

PEMIMPIN PATRIOTIK VS PEMIMPIN KOSMETIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Semu tahu apa maknanya patriotik, tentulah semangat cintakan Alif, Ba dan Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Manakala pemimpin kosmetik pula akan kelihatan seperti Ali, Ba
dan Ta semangatnya tetapi hanya sekadar pakaian luar sahaja. Macam pakai alat kosmetik. Bila buang alat kosmetik Nauzubillah silap-silap kening pun tak ada. Bayangkan manusia tanpa bulu kening!! Muka yang putih melepak bersalut bedak tiba-tiba bersopak sana-sini. Begitulah gambaran kepada perkara yang dibuat-buat dengan perkara yang semulajadi.

Sedih dan menyedihkan apabila kita semakin hari semakin banyak pula makhluk jadian ini iaitu pemimpin kosmetik. Benar seperti kata Dr Ary Ginanjar sekiranya kita dibukakan aib oleh Allah pasti tak mungkin kita dapat lagi menghadapi manusia. Rentetan dari tajuk yang terhasil di atas adalah dari pengalaman peribadi bercampur gaul dengan pelbagai pemimpin dari pelbagai parti. Jangan hairan mengapa rakyat semakin benci dan loya dengan segala ceramah dan syarahan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin. Inilah yang dikatakan oleh peribahasa Jepun yang telah diberitahu oleh Ibu Julie Sudiro rakan seperjuangan saya di dalam KARYAWAN Malaysia. Kata beliau” manusia ini sering sahaja seperti pepatah Jepun menyatakan bahawa takala tercabut satu paku di ladam kuda sahaja sudah mampu mencacatkan larian seekor kuda. Lagi banyak paku di cabut dari kuda lagi mengurangkan kelajuan kuda tersebut”. Semua orang tahu bahawa kuda senantiasa dikaitkan dengan peperangan, bayangkan sebuah parti politik seperti paku di ladam kuda, bila banyak yang tercabut, maka kalahlah kuda tersebut dalam membawa pahlawannya berperang. Itulah gambaran yang sedang berlaku di dalam dunia politik, takala banyak yang digugurkan hanya kerana perbuatan pemimpin kosmetik lama kelamaan kita akan kehilangan pemimpin yang benar-benar patriotic. Pemimpin patriotic sering akan dihambat oleh musuh mereka untuk ditaburkan fitnah dan dianiyai, kerana potensi mereka yang terserlah. Jangan hairan kalau ada yang menghambat mereka untuk melontarkan fitnah terdiri dari rakan-rakan seperjuangan sendiri. Betapa bodohnya manusia, tanpa melihat risiko yang bakal di hadapi oleh parti.

Apabila berbincang dan bersembang sumbang bersama beberapa tokoh politik mereka sering menyuarakan kepada saya bahawa kita harus memerangi pihak lawan atau pihak parti pembangkang habis-habisan. Saya hanya tersenyum kerana dalam masa yang sama masing-masing mula memakai kosmetik dengan mengumpat dan mengata sesame sendiri di atas satu pentas perjuangan. Mereka ingin menjatuhkan sesame sendiri, bagi memastikan kedudukan politik mereka tidak tergugat. Mana yang lebih anda takuti musuh di depan matakah atau musuh di dalam selimut sendiri. Inilah yang dikatakan tidur satu bantal mimpi berlainan kepada sesetengah pemimpin kosmetik. Anak Cina Makan Pengat sendiri mahu ingat!!

Sifat pemimpin kosmetik ini bila berhadapan dengan parti lawan mereka akan membuat muka muncung dan masam di hadapan khalayak ramai tetapi bila di belakang berpeluk bercium pipi berbaik dan malahan ada yang secara senyap minta tolong untuk menjatuhkan rakan sendiri di dalam pentas politik yang sama demi mempertahankan kedudukan mereka dari di gugat oleh rakan seperjuangan mereka. Oleh itu jangan hairan kalau kita lihat sesetengah pemimpin parti pembangkang yang kaya raya, kononnya mendapat hasil dari luar Negara rupa-rupanya rezeki datang dari dalam kerana banyak dibantu pemimpin kosmetik.

Banyak perkara yang dapat dinilaikan dari pemimpin yang kosmetik ini. Iman bukan diwarisi begitu juga dengan patriotisme. Ia akan lahir samada dari kesedaran sendiri mempelajari dari kehidupan dan suasana masyarakat semasa. Pemimpin itu tak semestinya miskin atau tidak berharta untuk menjadi pemimpin patriotik tetapi lihatlah pendirian dan pegangan hidupnya. Ternyata beliau akan lebih bersikap terbuka dan lantang bila bersuara atau akan diam tetapi tegas ketika membuat sebarang keputusan. Tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mempunyai ramai pengikut yang setia. Yang pasti pengikutnya bukan pengikut ayam, bila tabor dedak baru datang. Beliau mempunyai pengikut yang percaya pada karismanya, iaitu karisma memperjuangakan hak dan kebenaran.

Kita harus belajar dari sejarah bagaimana Hang Tuah yang begitu hebat bertempur dengan musuhnya di sana- sini akhirnya kecundang dengan Raja hanya kerana orang dalaman atau pemimpin kosmetik yang berjuang di dalam rumah yang sama tetapi menjatuhkan rakan seperjuangan sendiri. Moral dari cerita ini adalah ternyata betapa besarpun musuh di luar atau banyaknya parti pembangkang di luar tak mustahil utnuk kita mengalahkannya tetapi sekiranya musuh itu berada sesame kita dan tidur sebantal dengan kita itu lebih merbahaya. Pemimpin kosmetik ini tak perlu ramai utnuk menumbangkan parti kerana kerja dalaman beliau akan lebih berkesan dari kerja luar parti pembangksang. Tak susah menghadapi musuh di depan mata dari menghadapi musuh sesame kita.

Baru-baru ini juga cerita 300, juga telah menunjukkan kepada kita disebalik cerita tersebut seorang pemimpin Sparta hanya membawa 300 askarnya yang patriotic ingin menghadapi musuh yang beribu jauh lebih banyak dari askarnya. Beliau pemimpin Sparta akhirnya dapat mengalahkan beribu tentera Persia dengan hanya 300 askar beliau. Di akhir cerita ternyata pemimpin Sparta tersebut akhirnya kalah kerana hanya pemimpin Persia dapat membeli orang dalam atau pengkhianat Sparta. Banyak lagi cerita kalau kita nak buat contoh bagaimana besarnya sumbangan seseorang pemimpin kosmetik untuk menjatuhkan Agama, Bangsa dan Negara.

Bagi pemimpin atasan ingin saya nasihatkan agar lebih membuat kerja dalaman dari luaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang kerana dari sejarah dan cerita yang telah dipaparkan ternyata adalah lebih membahayakan sekiranya kita tidak menumpaskan atau melucutkan jawatan-jawatan pemimpin kosmetik ini sebelum kita menghadapi pemimpin parti pembangkang. Berhati-hati ketika memilih calon-calon pilihanraya kerana penyakit hasad dengki akan muncul takala antara mereka yang tidak terpilih akan menikam calon dari parti sendiri dengan menjadi pengkhianat kepada parti semata-mata kerana dendam kepada calon yang dipilih.
Berbeza perjuangan pemimpin kosmetik dengan pemimpin patriotik takala kita melihat semangat yang dipupuk dan nilai-nilai yang ada di kalangan mereka. Kalau pemimpin kosmetik mereka akan banyak bekerja semata-mata untuk jawatan dan hasil kekayaan yang mereka perolehi dari jawatan yang di sandang. Sedangkan pemimpin patriotik ini akan lebih bekerja atas nama Agama, Bangsa dan Negara. Saya percaya bahawa pemimpin patriotik akan lebih kekal kerana keikhlasan dalam perjuangan mereka. Kita janganlah terlalu yakin bahawa kajatuhan sesuatu parti hanya disebabkan oleh factor luaran tanpa mengambil kira tentang faktor dalaman.

Pemimpin atasan harus lebih muhasabah di masa akan datang mengapa setiap perkara yang berlaku adakah berpunca dari dalam atau luar. Kemarahan rakyat adalah seperti lilin. Kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan. Terkadang-kadang terfikir juga oleh saya antara ramai-ramai manusia yang membuat demonstrasi di sana-sini apakah kita perhatikan setiap seorang yang menghadirinya ada atau tidak di kalangan parti kita yang sanggup keluar berdiri di tengah kekalutan demonstrasi tersebut untuk menenagkan keadaan rakyat? Mana pejuang-pejuang kita? Apakah takala kita yang memerintah sebaliknya apabila muncul kemarahan rakyat kita menghantar golongan pekerja seperti polis dan FRU. Mana perginya pemimpin yang harus bertanggungjawab menenangkan hati rakyat. Rakyat adalah tanggungjawab pemimpin. Fikirkanlah!!Jangan sekadar bercakap di belakang tabir, itu semua boleh buat kalau berani hadapilah kenyataan dan keadaan yang sebenar. Turun padang dan lihat sendiri dan bukan sekadar melihat dan bercakap di kaca TV.

Inilah yang dikatakan fitnah. Kalau kita mengambil pendekatan untuk tidak mahu menyaksikan sesuatu masalah dengan mata kepala kita sendiri maka mudahlah fitnah mengambil tempat untuk menghancurkan sesama sendiri. Di atas segalanya apa yang penting seseorang pemimpin itu seharusnya mempunyai senjata yang paling tajam dan utama iaitu beriman. Koran dengan imam sahaja maka tidak akan wujud sikap pemimpin kosmetik. Kata Harun Yahya :

“ Kebencian dan kemarahan adalah sumber utamakejahatan dan kecenderungan untuk menghalang manusia daripada menbuat keputusan yang adil, berfikir dengan baik dan mengawal diri dengan waras, Sesetengah orang dengan mudah mengenakan setiap jenis ketidak adilan ke atas orang yang dibencikannya. Mereka boleh menuduh seseorang perbuatan yang tidak pernah dilakukkannya atau memberikankesaksian palsu terhadap mereka walaupun si penuduh itu tahu kemurnian sikap tertuduh.
Atas sikap permusuhan itu ramai yang menghadapi penindasan yang tidak tertanggung. Sesetengah orang mengalak memberikan kesaksian, memihak kepada orang yang tidak bersetuju dengannya walaupun mereka tahu yang mereka tidak beersalah dan tidak memberikan bukti bagi menyembunyikan keadaan tidak bersalah itu.
Atas sebab-sebab ini adalah sukar bagi manusia dalam masyarakat yang korup atau rosak untuk saling mempercayai. Manusia akan senantiasa dibimbangi akan terjatuh menjadi mangsa seseorang. Oleh kerana hilang nilai saling percaya mempercayai mereka akan turut kehilangan perasaan kemanusiaan seperti sikap toleransi, belas kasihan, persaudaraan dan kerjasama dan mula membenci antara satu sama lain.”
Inilah yang paling di khuatiri dan inlah punca-punca yang akan mewujudkan pemimpin kosmetik. Tak kala di lihat dari luar slaing kerjasama antara sesama parti tetapi di belakang merekalah yang bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin-pemimpin patriotic di kalangan parti sendiri. Akhirnya jadilah seperti pepatah Jepun tadi tercabutnya satu persatu paku di ladam kuda. Muhasabahlah!!

PELAKON POLITIK VS PELAKON PENTAS

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w


Istilah lakonan dan pelakon selalunya dikaitkan hanya kepada pelakon pentas. Sepanjang pengalaman menimba ilmu di dalam bidang teater, banyak yang telah didengari tentang komen-komen masyarakat ke atas pelakobn-pelakon pentas. Sudah tentulah kebanyakkannya mencebek muka apabila kita memperkenalkan seseorang pelakon pentas itu terutamanya yang begitu tinggi ilmu agamanya. Pelakon-pelakon pentas kurang diiktirafkan sebagai seorang yang mampu menyampaikan sesuatu kebaikan kepada masyarakat. Dalam ertikata lain kalau menjadi pelakon pentas dahulu, maka sudah tentulah akan dicopkan sebagai seorang yang kurang mulia akhlaknya. Apa lagi kalau adegan-adegan yang dipersembahkan di atas pentas tersebut melibatkan sentuhan dan sebagainya. Tapi bagaimana pula dengan pelakon politik?

Sudah tentu ramai yang akan terkejut apabila gelaran ini diberikan kepada mana-mana ahli politik. Tapi sedar atau tidak sedar inilah hakikat yang berlaku di dalam pentas politik sekarang ini. Kalau kita melihat seorang pelakon pentas, mudah kita melemparkan pelbagai kritikan kerana apa yang mereka lakonkan dan tonjolkan ternyata ianya semata-mata sebuah lakonan yang ingin menyampaikan iktibar kepada masyarakat ke atas watak apa yang dilakonkan oleh mereka. Semua tahu dan satu dunia tahu bahawa pelakon-pelakon pentas ini sedang berlakon dan menunjukkan semua watak baik dan buruk di atas pentas untuk kita jadikan iktibar, komen ataupun kritik. Berlainan pula dengan pelakon politik. Dalam ertikata lain mereka ini yang tergolong sebagai seorang ahli politik tidak pernah dianjurkan sebarang watak. Mereka akan membentukkan sendiri watak mereka mengikut selera dan kemahuan mereka. Kalau mereka melakonkan watak seperti orang baik tetapi mereka ini sebenarnya ingin membantu tak menjadi satu masalah langsung. Tetapi bagaimana pula sekiranya ahli politik ini menggunakan watak orang baik tetapi sebenarnya untuk kepentingan diri mereka sendiri akhirnya yang benar-benar berada di sisi mereka sahaja yang akan tahu watak mereka yang sebenar. Apakah mereka itu sebenar-benarnya baik atau sebaliknya. Inilah yang akan membahaya Agama, Bangsa dan Negara kita.

Dalam musim pilihanraya ini, sukar untuk kita menilai siapakah pelakon-pelakon politik ini tak kiralah dari kalangan mereka calon kerajaan ataupun pembangkang. Di sinilah akan bermulanya satu penilaian yang harus diambil kira oleh pengundi-pengundi Malaysia. Satu tips yang harus mereka pakai adalah “berfikir”. Melihat bukan lagi dengan mata kepala tetapi dengan menggunakan mata hati. Allah telah memberikan kita pelbagai senjata untuk kita mengenal pasti seseorang individu itu. Kita akan mudah menangkap samada seseorang ahli politik itu benar atau mereka sekadar melakonkan watak yang mereka ciptakan sendiri untuk mendapatkan apa yang mereka ingini bukan apa yang pemimpin atasan ingini atau Agama, Bangsa dan Negara ingini.

Secara sedar ataupun tidak sedar kita sebenarnya semua adalah pelakon dunia yang akan berlakon dalam setiap saat ketika kita berhadapan dengan orang ramai. Namun tak mungkin seorang pelakon dunia itu lari dari skrip asal Maha Pencipta iaitu berperwatakan baik dan berakhlak mulia. Itu merupakan satu-satunya perwatakan yang amat dituntut Allah dan Rasulullah. Namun sekiranya mereka itu benar-benar mengamalkan apa yang dituntun Allah dan Rasulullah maka mereka tidak mungkin akan dilihat sebagai seorang yang mencipta sendiri wataknya tetapi mengikut perwatakan yang ditetapka Allah. Bagi mereka yang mencipta sendiri keperibadian sesuatu watak untuk dibawa kepada masyarakat maka itulah yang membahayakan. Dalam ertikata lain mereka sebenarnya bukan sahaja berlakon tetapi bersikap “hipokrit” di hadapan masyarakat. Inilah kalangan mereka ahli politik yang hidup untuk kepentingan diri mereka sendiri. Tapi satu perkara mereka lupa bahawa setiap yang berlakon tidak akan bertahan lama kerana suatu masa dan ketika Allah tetap akan menunjukkan sikap dan watak mereka yang sebenar. Tak mungkin seorang pelakon pentas dapat membawa satu lakonan mereka bertahun-tahun lamanya. Apa yang berlaku di atas pentas akan juga berlaku di pentas dunia yang asal. Itulah ketika seseorang itu memilih untuk menjadi seorang pelakon politik.

Mereka tidak harus merasa selamat demean lakonan mereka. Memilih watak seperti seorang imam atau memenuhkan mulut mereka dengan Al Quran dan hadis namun hakikat sebenarnya mereka adalah seorang parasuah dan golongan yang gemar membuat maksiat. Bukankah mudah kalau mereka menjadi diri sendiri tidak akan mengatakan orang lain kalau diri sendiri pun berbuat perkara yang sama. Tidak memandang hina kepada masyarakat yang meminta-minta pada mereka jika mereka sendiri pun hidupnya meminta-minta pada orang lain. Lainlah kalau mereka tidak pernah meminta jadi mulialah sifat mereka dan layak jugalah untuk mereka mengatakan pada orang-orang di bawah pimpinan mereka.

Banyak cerita yang telah dilalui sepanjang kehidupan saya melibatkan diri di dalam politik. Ada sesetengah pemimpin politik yang benar-benar ikhlas dan tak tahu langsung berlakon. Apa yang kita lihat itulah mereka. Kalau mereka kata tak berduit kita akan percaya ketika melihat sendiri kehidupan mereka yang serba sederhana. Tapi kalau seorang ahli politk sering mengatakan mereka tak berduit tapi boleh berbelanja besar di luar negara maka “something is wrong somewhere”. Tak salah kalau tak mahu memberi pertolongan kepada orang tapi jangan sampai menghina orang yang tidak berkemampuan. Kalau diletakkan seseorang dikalangan masyarakat yang kurang mampu dengan seorang ahli politik yang berada tentulah jauh bezanya tapi seseorang ahli politik pula harus tahu membandingkan mereka kepada seorang ahli perniaga yang kaya yang sering mereka dampingi kerana pada mata ahli perniaga tersebut juga ahli politik itu turut dipandang kecil dan hina kerana selalu meminta-minta. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat. Jangan dok berlakon lama-lama dari minat jadi penat.

Kebanyakkan ahli politik menanggap bahawa kedudukan mereka merupakan satu cara untuk menambahkan kekayaan peribadi mereka. Maka mereka sanggup melakonkan watak apa sahaja untuk mencapaikan matlamat ini. Mereka ini tergolong di dalam golongan ahli politik yang begitu besar cita-cita peribadinya, Namun sekiranya mereka tahu bahawa mereka pada hakikat sebenar hanyalah dilantikkan Allah untuk memegang amanah dan hak rakyat tentulah mereka tidak akan berlumba-lumba untuk mengejar jawatan kepimpinan tersebut. Mereka harus sedar sebagai pemegang amanah rakyat apa sahaja kekayaan yang mereka perolehi melalui kuasa yang dipinjamkan Allah ditangan mereka harus diagihkan kepada rakyat dengan adil bukan menambahkan kepentingan-kepentingan dan juga keperluan-keperluan peribadi. Setelah dilantik menjadi calon maka ingatlah bahawa inilah permulaan kepada satu ujian Allah yang Maha Besar. Janganlah kita menggunakan agama dengan mengatakan bahawa “Allah memberikan segala kebaikan ini kepadaku semata-mata kerana aku di rahmati Allah”, begitu singkat pemikiran mereka sehingga tidak mengetahui antara keromah dan istidraj. Keromah akan diberikan oleh Allah kepada hambanya yang menjalankan tanggungjawab agama dan dikasihiNya, doa mereka sering dimakbulkan, bezanya mereka tidak menggunakan keromah mereka untuk meminta hal dunia. Manakala Istidraj adalah anugerah Allah kepada hambanya walaupun berdusta dan melakukan banyak maksiat seperti berupa pangkat, harta dan kedudukan yang melimpah dan akan dikabulkan setiap permintaan dan doa material. Semua keistimewaan dan doa yang dimakbulkan kepada mereka ini tidak lain semata-mata untuk mereka berada lebih jauh dari Allah. Mereka tetap akan diberikan kesenangan walau tidak melakukan solat dan ibadah khusus kepada Allah. Mereka akan menanggap bahawa sesiapa sahaja yang tidak tergambar kemewahan material sebagai hamba-hamba Allah yang tidak dirahmatiNya. Mereka bangga dengan ibadah dan derma yang diberikan mereka melalui wang ringgit dan kekayaan yang mereka perolehi. Mereka ini diumpamakan sebagai pendiri masjid yang menyapukan najis di dinding masjid tersebut.

Tanpa mereka sedari bahawa banyak perkara yang tidak mereka perolehi dari Allah. Seperti ketenangan, kebahgiaan rumahtangga, tidur yang lena, makanan sedikit yang megenyangkan dan waktu ibadah yang luas dipersiapkan Allah untukNya tidak pernah Allah luangkan kerana Allah penuhkan dengan kegiatan duniawi mereka. Lihatlah pepatah Inggeris ini, ketika seseorang itu begitu mengejar wang:

What Money Will Buy

A bed but not a sleep
Books but not brains
Food but not appetite
Finery but not beauty
A house but not a home
Medicine but not health
Luxuries but not culture
Amusement but not happiness
Religion but not salvation

Siapa kata wang tak penting. Segala-galanya memerlukan wang tetapi wang bukanlah segala-galanya. Janganlah kita menjadi pseorang calon yang dikatagorikan sebagai seorang pelakon politik, kerana ia tidak akan lama. Lebih baik jadi calon wali dan calon pemimpin dunia. Apa yang pasti kita semua calon jenazah. Muhasabahalah!!

KHALIFAH VS PEMIMPIN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Sekali pandang perkataan di atas tentulah istilah tersebut membawa erti yang sama. Namun sejauh manakah manusia memandang dua perkataan yang membawa erti yang sama tetapi pengertian yang jauh berbeza. Secara sedar atau tidak penulisan ini akan lebih di khususkan kepada sekelompok manusia yang bergelar Islam terutamanya yang telah membawa satu pengertian yang berbeza ke atas dua perkataan yang sama, lalu diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Pelik bukan? Kalau orang Melayu maka perkataan pemimpin begitu sinonim dengan mereka. Manakala orang yang mendalami Islam serta memahami Islam dengan sedalam-dalamnya akan tentu mengerti bahawa mereka tidak mungkin akan mengutuk pemimpin sesebuah Negara terutamanya beragama Islam sekiranya mereka mengerti istilah sebenarnya perkataan tersebut dan dari mana pangkat dan jawatan sebagai khalifah itu datang. Bila sampai di bumi dan jatuh ke tangan Melayu maka jadilah pemimpin bukan perkataan sahaja berbeza tetapi juga mereka telah membawa pengertian yang berbeza di dalam kehidupan seharian mereka.

Perkataan tersebut sama dengan perkataan “mungkir janji”, tetapi istilah tersebut adalah membawa pengertian yang sama dengan “munafik”. Jadi mana yang lebih di sukai apabila kita menggelarkan seseorang itu antara “mungkir janji” dengan “munafik”. Kerana ringannya penukaran sesebuah perkataan tersebut maka ringan jugalah penerimaan seseorang ke atas perbuatan mereka. Walau apa pun istilahnya tetap sama, Cuma aplikasinya sahaja berbeza. Akhirnya mungkir jamji jadi “tidak apa”.

Rata-rata kita tidak boleh lari dari penggunaan istilah dan ayat-ayat yang akan membawa semangat sehingga diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Sehingga beberapa moto atau tema telah pun dianggap begitu penting dalam mengubahkan karekter seseorang. Seperti contoh ketika kita menyahut “Malaysia gemilang” berulangkali terasa satu semangat yang mendadak di dalam dada kita terhadap cintakan Agama, bangsa dan Tanahair. Di situlah manusia akan mencari dan mula mengaplikasikan ke dalam diri mereka beberapa ayat ataupun perkataan yang boleh memberikan satu pemahaman terhadap hala tuju perjuangan seharian.

Berbalik kepada 2 perkataan di atas mengapakah ianya di vs kan sedangkan perkataan tersebut langsung tidak berlawanan. Apa yang ingin di kupaskan di dalam penulisan ini adalah bukan perkataannya tetapi pengertiannya ke atas sesetengah sekelompok masyarakat.

Sebagai seorang Islam kita semua tentu mengetahui bahawa terdapat di dalam Al Quran tentang Firman Allah yang menyatakan kita manusia itu di jadikan Allah adalah khalifah di bumi. Maka secara pembacaan spiritual itulah yang kita pegang dan genggam ketika baru dilahirkan iaitu sebuah amanah dan perjanjian dengan Allah untuk menjadi pemimpin di bumi ini. Maka setelah kita meninggal semua jari-jari kita terlepas, menunjukkan bahawa kita tidak lagi membawa jawatan atau apa sekali pun yang telah Allah berikan kepada kita dengan penuh Rahman dan Rahim untuk mengadapNya.

Itulah jawatan khalifah yang sebenarnya yang harus kita manusia fahami. Bukan dengan menggunakan perkataan pemimpin maka kita akan hanya melihat kesalahan orang-orang atasan kita sahaja tidak kiralah di pejabat ataupun di dalam dunia politik. Sibuknya kita mencari kesalahan pemimpin sehingga kita lupa bahawa kita juga telah di lahirkan sebagai pemimpin di atas perlantikan Allah itu sendiri. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekiranya menjadi pemimpin yang di akui manusia itu lebih dikehendaki dari menerima hakikat perlantikan dari Allah. Cuba bayangkan kita menolak perlantikan Allah dan menerima perlantikan dari manusia. Sekiranya sampai begitulah tahap pemahaman seseorang Islam khususnya, maka tak mungkin kita akan kejar pangkat dan kedudukan sebagai pemimpin masyarakat sekiranya tugas kita yang diberikan Allah sendiri pun tidak kita laksanakan.

Secara fitrah dari Allah sekiranya seseorang manusia itu begitu banyak membantu dan menolong masyarakat kerana Allah maka sudah tentu akan dipilih di kalangan kelompok masyarakat tersebut sebagai pemimpin. Jadi mengapa kita harus menunggu untuk dilantik menjadi pemimpin oleh parti contohnya untuk menyalurkan sumbangan kepada masyarakat. Apa yang melucukan apabila saya bertanya seseorang hamba Allah ini “mengapa kamu tak mahu menyumbangkan tenaga di dalam NGO contohnya”. Kata beliau “ kerana aku bukan pemimpin, kalau aku pemimpin tahulah macamana aku nak tolong orang”. Inilah yang dikata konflik pemahaman ke atas dua perkataan berbeza yang membawa erti sama tetapi pemahaman yang berbeza. Kerana kejahilan pengertian inilah maka manusia menunggukan pangkat dan jawatan serta anugerah dari manusia lain sebelum melaksanakan tugasnya sebagai khalifah atau pemimpin yang sebenar.

Maksud lain dari pemimpin itu ialah pimpin kalau istilah yang kita tahu di dalam bahasa pimpin itu ialah menolong atau membantu. Maka sekarang tentu anda faham bahawa Allah menghantar kita ke bumi sebagai khalifah bukanlah untuk merebut jawatan dan pangkat buatan manusia tetapi menjalankan tanggungjawab memimpin anak, isteri dan yang paling penting memimpin diri sendiri supaya berada di dalam “jalan yang lurus dan benar” 17 kali sehari semalam tak termasuk yang sunat kita pohonkan dari Allah. Anak Cina makan pengat jadi ingat sendiri mahu ingat. Kehidupan, udara dari Allah, jalan di bumi Allah tetapi sombong tolak pangkat dan jawatan yang sedia di beri Allah bergolak-berperang untuk jawatan buatan manusia.

Allah akan menaik dan menurunkan siapa yang Dia kehendaki jadi untuk apa kita sesama sendiri bertikaman, menganiayai satu dengan lain semata-mata merebut jawatan buatan manusia sehingga meninggalkan jawatan yang telah di anugerahkan Allah. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat ramai bohsia dan mat rempit, pelacuran dan black metal di kalangan orang Islam kerana telah ramai ibubapa sebagai pucuk pimpinan mengejarkan jawatan pemimpin dunia dengan membelakangkan tanggungjawab kekhalifahan sedia ada yang seharusnya mereka laksanakan.

Junjungan kita Muhamad juga pernah bersabda bahawa akan muncul khalifah di kalangan kamu, yang dipilih oleh Allah. Apakah kita tidak fahami berbezanya sekiranya ketika “mahu kita” dan “mahu Allah”.

Inilah yang dikatakan manusia semakin lama semakin bodoh. Menjaga pemimpin seperti Tuhan yang mampu menawarkan pangkat dan jawatan yang belum tentu dapat menjanjikan apa-apa. Tidak ada Al ghoni (Maha Memberi Kekayaan) kepada manusia. Tidak ada Al Aliy ( Maha Meninggikan ) kapada manusia namun masih tetap mereka cari dan ampu sesama manusia. Bertaburan wang rasuah di sana-sini untuk melobi manusia mendapatkan pangkat dan kedudukan. Bukankah sekiranya kita menjaga Allah sesen wang pun tak perlu kita belanjakan. Allah lebih mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita. Kalau Allah mahu kita menjadi pemimpin Negara atau masyarakat dengan sekelip mata “Kun fa ya Kun”.

Mengapa ESQ Leadership Center begitu cepat perkembangannya di banding dengan leadership training yang lain. Jawapannya ialah mereka bercakap tentang khalifah lantikan Allah dan bukan pemimpin atau khalifah buatan manusia. Telah diterangkan di dalam training tersebut bahawa sifat bagaimanakah yang dikehendaki oleh Allah kepada khalifahnya. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut maka daftarlah masuk training ESQ165 untuk merasai sendiri mengapa perkataan pemimpin bagi mereka boleh dikongsi oleh semua orang dari pemimpin rumah tangga sehinggalah kepada pemimpin organisasi dan masyarakat. Satu module tetapi semua memahaminya. Tak lain tak bukan module Allah iaitu al Quran sebagai asas module ESQ165.

Pengajaran dari apa yang diterangkan di atas adalah supaya kita melihat tanggungjawab kepimpinan kita terlebih dahulu sebelum kita menilai kepimpinan orang lain. Janganlah kita menuding jari kepada pemimpin masyarakat apabila kepimpinan kita di dalam rumahtangga dan terutama diri kita sendiri pun masih tidak berada di dalam jalan yang lurus dan benar. Hayatilah salah satu dari nasihat Rub’iy Bin Amir r.a ( panglima yang di utuskan ke Parsi) :

Diucapkan kepada Rustum (Panglima Parsi):
“Allah membangkitkan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada kamu memerdekakan diri dari penyembahan sesame manusia kepada pengabdian kepada Allah ‘Azza Wajjala, daripada ajaran-ajaran yang sesat dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas (dunia dan akhirat)

Inilah manusia ketika Allah menawarkan kepadakita dua dunia kita tetap memilih satu. Semua yang hanya nampak oleh mata kepala. Inilah yang sering di Firmankan Allah “Bukan matamu yang buta, tapi hatimu di dalam dada”. Tolak jawatan anugerah Allah untuk menafaat satu dunia. Muhasabahlah!!

PENULIS BLOG VS PEMIMPIN GOBLOK

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM
SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Tanggal 22hb Julai 2007 baru-baru ini kami telah diberikan kesempatan untuk duduk dan bersembang secara terbuka dengan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Ybhg.Dato’Norza Zakaria. Bertempat di janda baik, mana lagi kalau bukan rumah kedamian Pak Habib. Satu perbincangan yang hebat dan terbuka. Namun dalam banyak-banyak isu yang diperbincangkan, saya amat tertarik dengan salah satu perkataan Pak Habib iaitu ”goblok”. Itu adalah bahasa Indonesia yang semua orang tahu bermaksud bodoh. Bukan niat dan tujuan memperkatakan mana-mana pemimpin parti tertentu dengan perkataan ”bodoh”, tetapi itulah hakikatnya sesetengah pemimpin yang hidup di dalam era moden dan globalisasi tetapi masih berfikiran ”goblok”. Ini adalah perbincangan peribadi dan tidak termasuk di dalam perbincangan dengan Ybhg. Dato Norza. Begitulah ilham seorang penulis. Orang boleh duduk dan ajak berbincang tapi ilham menulis datang hanya dengan satu perkataan dan bukan perbincangan secara keseluruhan. Nama pun ilham.

Heboh diperkatakan tentang penulis-penulis blog atau bloggers, yang rata-rata memandang serius tentang apa yang diperkatakan. Kerajaan baru sedar bahawa kebanyakkan bloggers ini dapat membawa ancaman kepada negara. Dengan timbulnya isu penulis blog secara tak langsung timbullah juga pemimpin goblok yang memperkatakan tentang seriusnya ancaman tersebut tetapi tidak mengambil sebarang langkah dan tindakan. Banyak perkara buruk sebenarnya boleh diperbaiki dan bukan disingkirkan. Kalau Datuk Azeez boleh menggunakan kaedah ”you can’t beat them joint them and recycle them” kepada Mat rempit, mengapa pula tindakan yang sama tidak dilakukan kepada penulis-penulis bloggers ini.

Bila sampai pilihanraya dikatakan duit turun macam hujan untuk memancing, mengail atau berkempen mendapatkan undi. Inilah masalahnya sekiranya pemimpin tidak mahu bersalin minda bersama zaman. Baju pun pandai ikut fesyen, kenapa susah sangat nak salin minda. Kebanyakkan pemimpin hanya memandang sebelah mata apabila kita cuba mengusulkan untuk membiaya ruang-ruang tanpa sempadan ini. Kononnya orang kampung tak buka internet. Tapi kenapa nak risau kalau penulisan-penulisan bloggers ini menyerang dengan bertubi-tubi cerita-cerita yang di anggap karut marut ini? Tentulah ia bermakna sedikit sebanyak penulisan bloggers ini memberi kesan kepada minda masyarakat. Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat.

Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa di dalam mesyuarat Perdana Menteri bertanya kepada kepimpinannya samada mereka mempunyai web masing-masing, semua kata ada. Tapi kalau sekadar ada tak ”update” kira macam frame gambar kat rumah nak buat apa. Web UMNO wilayah boleh dijadikan contoh, bagaimana mereka sering ”update” setiap pergerakan dan aktiviti mereka, namun ada juga hamba Allah yang kutuk, bukan pasal apa, pasal too up to date mengalahkan formula one. Jadi web-web yang seperti MG tahun 60an biasalah cemburu. Tak boleh buat yang sendiri kutuklah yang orang lain, tu la manusia.

Ada satu jawapan mengapa banyak pemimpin ”goblok” ini tidak mahu membiayai web mereka serta mengemas kinikan laman web mereka, bukan kerana tak berduit tetapi sebenarnya tak ”berstory”. Apa yang nak diletakkan kalau aktiviti sendiri pun tak pernah buat. Kalau setakat nak potong reben acara orang lain banyaklah tapi malulah kalau asyik potong reben acara orang lain. Itu saja jawabannya. Simple and easy makan pengat and sendiri mahu ingat.

Pak Lah harus memandang serius permasaalahan ini kerana dunia tanpa sempadan harus diterokai oleh semua lapisan masyarakat. Apa yang menjadi masalah ialah pembangkang di dalam dunia blog ini dah naik formula one yang kita masih ketinggalan. Suatu masa dahulu semasa saya bertanding ketua puteri UMNO, itulah perjuangan saya ketika itu iaitu untuk menyuruh puteri-puteri UMNO ni duduk saja di rumah jaga website. Tolong kerajaan untuk kerjakan pembangkang di dalam dunia tanpa sempadan. Tapi nasib tak menyebelahi, jadi perjuangan tinggal perkataan. Kalau pemuda sibuk dengan acara luar, wanita pun sibuk dengan acara luar, Majlis Tertinggi pun sibuk potong reben sana-sini dan menyelesaikan masalah masyarakat luar, puteri pun nak sibuk buat acara luar, maka habis pakat tinggal rumah, manalah penyangak dan pencuri tak masuk. Dalam parti kita semua ada sayapnya. Sayap kiri, kanan, depan dan belakang tapi janganlah semua nak terbang tinggal rumah. Cuba duduk saja di rumah dibiayai oleh pemimpin-pemimpin yang cerdik IT, sudah tentulah dunia tanpa sempadan dapat kita kuasai.

Kalau puteri UMNO diberikan tugasan sedemikian bayangkan berapa keahlian puteri sekarang? Bayangkan 20 ribu blog dibuka dan dikawal selia untuk menentang sebarang tohmahan penulis blog pembangkang, demam kepialu mereka dibuatnya. Ini tidak dok cari juga projek-projek luar. Kalau ramai puteri duduk di rumah banyak faedahnya, tolong negara di depan mata anak dan suami atau ibu dan bapa sejuk mata memandang. Hebat juga tingkah laku remaja akan datang, jauhlah dari tohmah dan fitnah. Selamat dunia akhirat. Kita bercakap tentang fitnah orang, apa langkah kita untuk membendung fitnah tersebut? Sedih dan menyedihkan ada orang lama tak IT, buka pula sayap baru ada IT tapi tak mahu polopori. Lama-lama rumah masuk pencuri!!

Bila kita cakap tentang puteri dan IT, depa dok pi kempen dekat orang agar jangan buta IT. Ajar orang sana-sini fasih dengan komputer. Tu kan kerja cikgu dan cekgi di sekolah. Janganlah dok buat kerja orang. Kita sepatutnya menjadi pesilat dan pejuang di dalam dunia tanpa sempadan .Itu lebih hebat. Kalau buat majlis dan kempen dalam kampung saja buat apa. Tunjukkkan ilmu dan belang kita pada dunia, bahawa puteri bukan sekadar jaguh kampung menjawab soalan di dalam TV kampung tapi di dalam TV antarabangsa. Macam-macam dah boleh di buat di dalam internet ni. Bukan sekadar penulisan bercakap dalam video pun boleh dah. Ingat dunia luar sedang menagihkan berita-berita dari negara kita. Orang yang paling rajin menyebarkan berita dalam negara kita bloggers-bloggers yang anti kerajaan. Mereka diluar tak kiralah anak bangsa orang atau anak bangsa kita yang sedang belajar dan bekerja di luar negara juga harus disuapkan dengan berita-berita sebenar. Masalahnya siapa yang nak suap????

Kebanyakkan pemimpin yang goblok ini masih berada di alam ”comfort zone”. Masih mengamalkan cara dan pendekatan lama untuk mendampingi masyarakat. Rumah dah nak terbakar, masih dok kalut nak lantik AJK buat mesyuarat untuk padam kan api, bayangkan. Kalau nak diikutkan orang dah tak sibuk bermesyuarat dengan duduk berkumpul makan kuih, minum teh lagi. Semuanya harus teleconference dah. Pakai video internet dah, barulah banyak keputusan cepat dibuat. Keputusan sesuatu projek tu lambat bukan kerana birokrasi sangat tapi kerana buta IT. Satu-satu mesyuarat kadang-kadang terpaksa di tangguhkan kerana pemimpin sedang bawa anak bini makan angin diluar negara. Padahal di mana sahaja mereka berada setiap mesyuarat boleh mereka hadiri sekiranya teknologi ini diguna pakai sepenuhnya. Macam mana nak cakap pasal globalisasi kalau kaedah mesyuarat pun dok zaman ”jurassic park” lagi. Nasiblah sesetengah pemimpin ada satu bini kalau dua bini lagi kacau. Tak dapat buat mesyuarat langsunglah jawabnya. Orang meniaga nak tunggu keputusan kontrak pun kena tutup kedai sebab orang atasan sibuk bawa bini-bini silih berganti bercuti. Bukan semualah!! Tak termasuk cuti sakit, bersalin dan macam-macam lagi.

Pemimpin adalah pilihan Allah dan kepimpinan adalah tanggungjawab, manakala keputusan dan tindakan adalah amanah yang harus dipertanggungjawabkan agar orang lain tidak teraniaya. Jangan lagi menangkis fitnah dengan penulis bloggers ini dengan merintih-rintih di dalam media. Kerahlah sayap-sayap yang ada untuk turun padang dan berperang di dalam dunia tanpa sempadan ini. Cukuplah yang dok ada di dalam dunia bersempadan buat kerja. Bersiaplah cepat untuk mengerjakan penderhaka di dalam dunia maya. Jangan salahkan teknologi dan ilmu yang Allah turunkan kepada manusia. Kerana tidak ada ilmu yang tidak bermanafaat. Kalau shakespear berkata ”beauty is in the eyes of the beholder” maka saya pula berkata ” knowledge is in the heads of the beholder”. Kalau bagi Al Quran kepada Tok Bomoh maka jadilah mantera dan serapah, tapi kalau orang yang tahu tentang ilmu Al Quran dunia pun mereka dapat tawan. Jadi jangan salahkan ilmu. Salahkanlah pemimpin “goblok” yang tidak mahu mengguna pakai ilmu yang ada. Mempernbaiki ilmu tidak baik kepada baik. Ilmu harus dipelopori bukan diberhentikan.

Janganlah kita menyalahkan penulis blog hanya kerana kita masih goblok di dalam dunia tanpa sempadan. Sesungguhnya kecanggihan dunia tanpa sempadan itu adalah ilmu. Memarahi kehebatan ilmu yang semuanya dari Allah adalah salah. Hanya jauhari mengenal manikam. Hanya orang yang berilmu sahaja yang tahu bagaimana untuk mengawal ilmu serta memanafaatkannya, seperti nasihat SAHL BIN ABDULLAH ATTUSTURI RH.A :

” Seluruh manusia akan mati kecuali para ahli ilmu. Para ahli ilmu itu akan mabuk, kecuali yang beramal. Seluruh yang beramal itu tertipu, selain yang ikhlas. Orang ikhlas itu berada dalam ketakutan, sebelum diketahuinya kesudahan amalnya itu.”

Penulis blog akan berterusan perjuangannya, namun janganlah kita menjadi pemimpin goblok yang menolak usaha untuk turut serta di dalam perjuangan mereka. Jangan sampai penulis blog terpaksa berunding dengan tunggul istilah peribahasa Melayu, yakni yang hanya mendengar tetapi diam dan tidak berbuat apa-apa, ataupun Bak menanti orang dahulu, bak melalah orang kemudian. Maksudnya hanya membuat usaha sia-sia. Nauzubillah!!

1.00am -1.45am
27 Julai 20