Monday, March 17, 2008

PEMIMPIN PATRIOTIK VS PEMIMPIN KOSMETIK

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Buat Baginda Rasulullah s.a.w

Semu tahu apa maknanya patriotik, tentulah semangat cintakan Alif, Ba dan Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair). Manakala pemimpin kosmetik pula akan kelihatan seperti Ali, Ba
dan Ta semangatnya tetapi hanya sekadar pakaian luar sahaja. Macam pakai alat kosmetik. Bila buang alat kosmetik Nauzubillah silap-silap kening pun tak ada. Bayangkan manusia tanpa bulu kening!! Muka yang putih melepak bersalut bedak tiba-tiba bersopak sana-sini. Begitulah gambaran kepada perkara yang dibuat-buat dengan perkara yang semulajadi.

Sedih dan menyedihkan apabila kita semakin hari semakin banyak pula makhluk jadian ini iaitu pemimpin kosmetik. Benar seperti kata Dr Ary Ginanjar sekiranya kita dibukakan aib oleh Allah pasti tak mungkin kita dapat lagi menghadapi manusia. Rentetan dari tajuk yang terhasil di atas adalah dari pengalaman peribadi bercampur gaul dengan pelbagai pemimpin dari pelbagai parti. Jangan hairan mengapa rakyat semakin benci dan loya dengan segala ceramah dan syarahan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin. Inilah yang dikatakan oleh peribahasa Jepun yang telah diberitahu oleh Ibu Julie Sudiro rakan seperjuangan saya di dalam KARYAWAN Malaysia. Kata beliau” manusia ini sering sahaja seperti pepatah Jepun menyatakan bahawa takala tercabut satu paku di ladam kuda sahaja sudah mampu mencacatkan larian seekor kuda. Lagi banyak paku di cabut dari kuda lagi mengurangkan kelajuan kuda tersebut”. Semua orang tahu bahawa kuda senantiasa dikaitkan dengan peperangan, bayangkan sebuah parti politik seperti paku di ladam kuda, bila banyak yang tercabut, maka kalahlah kuda tersebut dalam membawa pahlawannya berperang. Itulah gambaran yang sedang berlaku di dalam dunia politik, takala banyak yang digugurkan hanya kerana perbuatan pemimpin kosmetik lama kelamaan kita akan kehilangan pemimpin yang benar-benar patriotic. Pemimpin patriotic sering akan dihambat oleh musuh mereka untuk ditaburkan fitnah dan dianiyai, kerana potensi mereka yang terserlah. Jangan hairan kalau ada yang menghambat mereka untuk melontarkan fitnah terdiri dari rakan-rakan seperjuangan sendiri. Betapa bodohnya manusia, tanpa melihat risiko yang bakal di hadapi oleh parti.

Apabila berbincang dan bersembang sumbang bersama beberapa tokoh politik mereka sering menyuarakan kepada saya bahawa kita harus memerangi pihak lawan atau pihak parti pembangkang habis-habisan. Saya hanya tersenyum kerana dalam masa yang sama masing-masing mula memakai kosmetik dengan mengumpat dan mengata sesame sendiri di atas satu pentas perjuangan. Mereka ingin menjatuhkan sesame sendiri, bagi memastikan kedudukan politik mereka tidak tergugat. Mana yang lebih anda takuti musuh di depan matakah atau musuh di dalam selimut sendiri. Inilah yang dikatakan tidur satu bantal mimpi berlainan kepada sesetengah pemimpin kosmetik. Anak Cina Makan Pengat sendiri mahu ingat!!

Sifat pemimpin kosmetik ini bila berhadapan dengan parti lawan mereka akan membuat muka muncung dan masam di hadapan khalayak ramai tetapi bila di belakang berpeluk bercium pipi berbaik dan malahan ada yang secara senyap minta tolong untuk menjatuhkan rakan sendiri di dalam pentas politik yang sama demi mempertahankan kedudukan mereka dari di gugat oleh rakan seperjuangan mereka. Oleh itu jangan hairan kalau kita lihat sesetengah pemimpin parti pembangkang yang kaya raya, kononnya mendapat hasil dari luar Negara rupa-rupanya rezeki datang dari dalam kerana banyak dibantu pemimpin kosmetik.

Banyak perkara yang dapat dinilaikan dari pemimpin yang kosmetik ini. Iman bukan diwarisi begitu juga dengan patriotisme. Ia akan lahir samada dari kesedaran sendiri mempelajari dari kehidupan dan suasana masyarakat semasa. Pemimpin itu tak semestinya miskin atau tidak berharta untuk menjadi pemimpin patriotik tetapi lihatlah pendirian dan pegangan hidupnya. Ternyata beliau akan lebih bersikap terbuka dan lantang bila bersuara atau akan diam tetapi tegas ketika membuat sebarang keputusan. Tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mempunyai ramai pengikut yang setia. Yang pasti pengikutnya bukan pengikut ayam, bila tabor dedak baru datang. Beliau mempunyai pengikut yang percaya pada karismanya, iaitu karisma memperjuangakan hak dan kebenaran.

Kita harus belajar dari sejarah bagaimana Hang Tuah yang begitu hebat bertempur dengan musuhnya di sana- sini akhirnya kecundang dengan Raja hanya kerana orang dalaman atau pemimpin kosmetik yang berjuang di dalam rumah yang sama tetapi menjatuhkan rakan seperjuangan sendiri. Moral dari cerita ini adalah ternyata betapa besarpun musuh di luar atau banyaknya parti pembangkang di luar tak mustahil utnuk kita mengalahkannya tetapi sekiranya musuh itu berada sesame kita dan tidur sebantal dengan kita itu lebih merbahaya. Pemimpin kosmetik ini tak perlu ramai utnuk menumbangkan parti kerana kerja dalaman beliau akan lebih berkesan dari kerja luar parti pembangksang. Tak susah menghadapi musuh di depan mata dari menghadapi musuh sesame kita.

Baru-baru ini juga cerita 300, juga telah menunjukkan kepada kita disebalik cerita tersebut seorang pemimpin Sparta hanya membawa 300 askarnya yang patriotic ingin menghadapi musuh yang beribu jauh lebih banyak dari askarnya. Beliau pemimpin Sparta akhirnya dapat mengalahkan beribu tentera Persia dengan hanya 300 askar beliau. Di akhir cerita ternyata pemimpin Sparta tersebut akhirnya kalah kerana hanya pemimpin Persia dapat membeli orang dalam atau pengkhianat Sparta. Banyak lagi cerita kalau kita nak buat contoh bagaimana besarnya sumbangan seseorang pemimpin kosmetik untuk menjatuhkan Agama, Bangsa dan Negara.

Bagi pemimpin atasan ingin saya nasihatkan agar lebih membuat kerja dalaman dari luaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang kerana dari sejarah dan cerita yang telah dipaparkan ternyata adalah lebih membahayakan sekiranya kita tidak menumpaskan atau melucutkan jawatan-jawatan pemimpin kosmetik ini sebelum kita menghadapi pemimpin parti pembangkang. Berhati-hati ketika memilih calon-calon pilihanraya kerana penyakit hasad dengki akan muncul takala antara mereka yang tidak terpilih akan menikam calon dari parti sendiri dengan menjadi pengkhianat kepada parti semata-mata kerana dendam kepada calon yang dipilih.
Berbeza perjuangan pemimpin kosmetik dengan pemimpin patriotik takala kita melihat semangat yang dipupuk dan nilai-nilai yang ada di kalangan mereka. Kalau pemimpin kosmetik mereka akan banyak bekerja semata-mata untuk jawatan dan hasil kekayaan yang mereka perolehi dari jawatan yang di sandang. Sedangkan pemimpin patriotik ini akan lebih bekerja atas nama Agama, Bangsa dan Negara. Saya percaya bahawa pemimpin patriotik akan lebih kekal kerana keikhlasan dalam perjuangan mereka. Kita janganlah terlalu yakin bahawa kajatuhan sesuatu parti hanya disebabkan oleh factor luaran tanpa mengambil kira tentang faktor dalaman.

Pemimpin atasan harus lebih muhasabah di masa akan datang mengapa setiap perkara yang berlaku adakah berpunca dari dalam atau luar. Kemarahan rakyat adalah seperti lilin. Kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan. Terkadang-kadang terfikir juga oleh saya antara ramai-ramai manusia yang membuat demonstrasi di sana-sini apakah kita perhatikan setiap seorang yang menghadirinya ada atau tidak di kalangan parti kita yang sanggup keluar berdiri di tengah kekalutan demonstrasi tersebut untuk menenagkan keadaan rakyat? Mana pejuang-pejuang kita? Apakah takala kita yang memerintah sebaliknya apabila muncul kemarahan rakyat kita menghantar golongan pekerja seperti polis dan FRU. Mana perginya pemimpin yang harus bertanggungjawab menenangkan hati rakyat. Rakyat adalah tanggungjawab pemimpin. Fikirkanlah!!Jangan sekadar bercakap di belakang tabir, itu semua boleh buat kalau berani hadapilah kenyataan dan keadaan yang sebenar. Turun padang dan lihat sendiri dan bukan sekadar melihat dan bercakap di kaca TV.

Inilah yang dikatakan fitnah. Kalau kita mengambil pendekatan untuk tidak mahu menyaksikan sesuatu masalah dengan mata kepala kita sendiri maka mudahlah fitnah mengambil tempat untuk menghancurkan sesama sendiri. Di atas segalanya apa yang penting seseorang pemimpin itu seharusnya mempunyai senjata yang paling tajam dan utama iaitu beriman. Koran dengan imam sahaja maka tidak akan wujud sikap pemimpin kosmetik. Kata Harun Yahya :

“ Kebencian dan kemarahan adalah sumber utamakejahatan dan kecenderungan untuk menghalang manusia daripada menbuat keputusan yang adil, berfikir dengan baik dan mengawal diri dengan waras, Sesetengah orang dengan mudah mengenakan setiap jenis ketidak adilan ke atas orang yang dibencikannya. Mereka boleh menuduh seseorang perbuatan yang tidak pernah dilakukkannya atau memberikankesaksian palsu terhadap mereka walaupun si penuduh itu tahu kemurnian sikap tertuduh.
Atas sikap permusuhan itu ramai yang menghadapi penindasan yang tidak tertanggung. Sesetengah orang mengalak memberikan kesaksian, memihak kepada orang yang tidak bersetuju dengannya walaupun mereka tahu yang mereka tidak beersalah dan tidak memberikan bukti bagi menyembunyikan keadaan tidak bersalah itu.
Atas sebab-sebab ini adalah sukar bagi manusia dalam masyarakat yang korup atau rosak untuk saling mempercayai. Manusia akan senantiasa dibimbangi akan terjatuh menjadi mangsa seseorang. Oleh kerana hilang nilai saling percaya mempercayai mereka akan turut kehilangan perasaan kemanusiaan seperti sikap toleransi, belas kasihan, persaudaraan dan kerjasama dan mula membenci antara satu sama lain.”
Inilah yang paling di khuatiri dan inlah punca-punca yang akan mewujudkan pemimpin kosmetik. Tak kala di lihat dari luar slaing kerjasama antara sesama parti tetapi di belakang merekalah yang bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin-pemimpin patriotic di kalangan parti sendiri. Akhirnya jadilah seperti pepatah Jepun tadi tercabutnya satu persatu paku di ladam kuda. Muhasabahlah!!

No comments: